✿Baca Entry Yang Lepas✿

Friday, October 28, 2011

Ibu Seorang Penipu!

Ibu Seorang Penipu!:
Ibu Seorang Penipu!

Pada suatu pagi yang hening dan tenang, tika burung sedang berkicau, aku baru saja bersiap untuk pergi ke sekolah. Aku kelihatan begitu segak sekali. Keluar saja aku dari bilik, ibu sudah menghidangkan sarapan di ruang makan. Aku memandang ibu ku sambil tersenyum, dan ibu membalas kembali senyumanku itu. Lalu ibu memanggil ku untuk bersarapan. Ubi rebus yang ibu hidangkan begitu sedap bila dicecah dengan sambal.


Aku memandang ibu lalu bertanya, "Ibu mengapa tidak makan sekali?"


"Ibu sudah makan tadi nak, sewaktu kau sedang bersiap," sambil terukir senyuman di wajah ibu.


Namun, aku tahu ibu sedang menipuku, dia masih belum bersarapan. Kami hanya tinggal dua beranak saja, ayah telah lama meninggalkan kami berdua. Ibulah yang mencari nafkah dan membesarkan aku selama ini.


Pulangnya aku dari sekolah pada tengah hari, aku terus makan. Ibu pula masih di pasar menjual sayur, dan hanya pulang pada jam dua petang. Ibu kelihatan begitu penat sekali apabila dia pulang, dan terus masuk ke bilik. Aku mulai pelik, ibu selalunya tidak begitu, selalunya dia pasti akan berbual dengan ku terlebih dahulu. Bertambah pelik lagi, ibu tidak keluar-keluar lagi dari biliknya dari pukul dua hinggalah ke pukul enam petang. Aku nekad, aku terus masuk ke bilik ibu. Aku melihat ibu sedang terlantar di dalam bilik. Ya Allah, apa yang sedang berlaku ini. Aku memegang dahi ibu, dahinya sungguh panas. Barangkali ibu demam.


"Ibu, kita pergi jumpa doktor ya, ibu demam ni."


Ibu sekadar menggelengkan kepalanya lalu berkata "Tak mengapa nak, esok lusa elok lah demamnya, lagipun bukannya teruk sangat demam ibu ni."


Sekali lagi aku ditipu oleh ibu. Kenapa ibu suka sangat menipu aku. Dahinya sungguh panas tadi. Aku tahu yang ibu tidak mahu membazirkan duit kerana ingin menampung kos aku untuk ke sekolah, sehingga tidak mahu berjumpa doktor.

Kini aku telah dewasa dan berkerjaya. Seperti kebanyakan orang, aku terlalu sibuk sehingga tidak sempat menelefon ibu untuk bertanya khabar, apatah lagi menjenguknya di kampung. Suatu hari, aku berkesempatan jua menelefon ibu untuk bertanya khabar.


"Assalamualaikum ibu. Ibu sihat? Dah makan ibu? Duit belanja cukup tak?"


Ibu membalas sambil terbatuk-batuk, "Waalaikumsalam. Ibu batuk sikit saja ni, esok lusa baiklah. Duit yang kau kirimkan bulan lepas pun tak habis diguna lagi, banyak lagi."


Mendengarkan suara ibu yang terbatuk-batuk itu, aku mula rasa tidak sedap hati. Namun apakan daya, aku hanya mampu berdoa pada yang Esa supaya ibu diberi nikmat kesihatan. Keesokan harinya, aku menerima panggilan dari Mak Piah, jiran dan rakan karib ibu di kampung. Tiba-tiba jantung aku berdebar-debar, aku bertanya kepada Mak Piah,


"Ada apa Mak Piah telefon ni?"


Aku sungguh terkejut mendengar jawapan dari Mak Piah sehingga jatuh terjelupuk ke lantai.

"Ibu telah meninggal dunia..."

Patutlah semalam aku risau tatkala mendengar ibu terbatuk-batuk. Mak Piah memberitahu sudah masuk dua bulan ibu menghidap batuk kering. Ibu sering batuk berdarah tetapi tidak mahu ke hospital, ibu tidak menggunakan duit yang aku kirim untuk berbelanja, sebaliknya duit itu dia gunakan untuk membeli tanah di hujung kampung untukku, ibu hanya makan apa yang ditanamnya di kebun. Pada saat ini aku masih terfikir, mengapa ibu sering menipu aku walau ajal hampir kepadanya?


Kini, setelah ibu pergi untuk selamanya barulah aku tahu mengapa ibu sering menipu aku. Itu pun setelah aku bertanya kepada Mak Piah. Mak Piah memberitahu, naluri seorang ibu ini berlainan, ibu sanggup menahan lapar dan sakit demi untuk anaknya. Aku sungguh sedih, lantas bercucuran air mataku jatuh ke bumi. Aku sungguh terharu dengan pengorbanan ibu selama ini kepadaku. Ya-Allah, kau tempatkanlah ibuku di kalangan hamba-hamba-Mu yang solehah

Amin...

No comments:

Copyright © ✿Emas✿Putih✿Blog✿ Designed by azhafizah.com