✿Baca Entry Yang Lepas✿

Saturday, August 31, 2013

Ajal Ketika Bacaan Khutbah


Alor Setar: Jemaah solat Jumaat Masjid Rafeah Taman Uda, di sini, gempar apabila seorang warga emas berusia 66 tahun tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia ketika khatib membaca khutbah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, jemaah itu, Arshad Harun dari Kampung Padang, Hutan Kampung, di sini, dikatakan menghidap penyakit darah tinggi.

Jemaah lain yang melihat mangsa tiba-tiba rebah segera mengangkat mangsa dan meletakkannya di tepi dinding sambil memberi rawatan kecemasan.

Seorang jemaah, Yusof Abdul Majid, 80, dari Taman Muhibah, di sini, berkata dia bersama beberapa jemaah lain mengangkat Allahyarham ke tepi dinding sambil mengurut belakangnya bagi memberi bantuan.

“Ketika itu, saya dapat rasa arwah masih bernafas dan kami cuba memulihkannya sementara menunggu ambulans tiba. Saya difahamkan dia meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Arwah tinggal di Kampung Padang, Hutan Kampung dan selalu menunaikan solat Jumaat di masjid ini,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Imam Masjid Rafeah Taman Uda, Zakaria Long, 74, berkata, ini kali pertama jemaah meninggal dunia di dalam masjid berkenaan sejak masjid ini beroperasi 30 tahun lalu.

“Ini kes pertama jemaah meninggal dunia di masjid ketika khatib membaca khutbah Jumaat. Bagi saya, arwah antara individu yang diberi keistimewaan Allah kerana meninggal di dalam masjid, pada hari Jumaat yang mulia,” katanya.

Anak mangsa, Mohd Azhari Arshad, 22, berkata, arwah bapanya sudah mengidap penyakit darah tinggi sejak dua tahun lalu.

“Arwah selalu mengadu penat dan sakit darah tinggi sejak dua tahun lalu, tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik sebelum ini.

“Arwah selalu pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan walaupun ada masjid berhampiran dengan rumah.

Menurutnya, arwah juga sudah berhenti merokok sejak Ramadan lalu kerana bimbang dengan penyakitnya itu.

“Arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Padang, Hutan Kampung, semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Md Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.



5 comments:

Che Rosliza Che Mat said...

Inalillahhirrojium...

baby comel said...

Innalillah, al fatihah utk arwah.
moga ditempatkan dikalangan mereka yg beriman

Azhafizah Md Nor said...

ajal maut di tangan Allah SWT.al fatihah...

mujahidah maisarah said...

husnul khotimah. bestnye

Cik Fie said...

al fatihah

Copyright © ✿Emas✿Putih✿Blog✿ Designed by azhafizah.com